26 January 2010

KUALITI IPTA/IPTS DI PANTAU

Kualiti universiti, kolej universiti swasta dipantau (Berita Harian 26/1/10)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi akan memperkenalkan langkah tertentu untuk memantau kualiti semua universiti dan kolej universiti swasta di negara ini supaya memenuhi piawaian Kerangka Kelayakan Malaysia bermula tahun ini, manakala bagi kolej swasta pada 2013.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya mahu tahap kualiti yang ditekankan terhadap institusi pengajian tinggi awam (IPTA) selama ini turut dilaksana pada peringkat IPT swasta (IPTS) dalam usaha melonjakkan peranan dan sumbangan IPTS dalam sektor pengajian tinggi negara.

"IPTS tidak boleh dipinggirkan dalam memenuhi prosedur pemantauan kualiti kerana sebelum ini kita hanya memberi penekanan kepada IPTA seperti pemantauan kualiti daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Setara).

"Kita juga memperluas penyertaan dalam pelaksanaan dan penarafan IPTS berstatus kolej sebagai instrumen menilai tahap pencapaian dan mengukur kualiti sesebuah kolej berkenaan. Ia dilaksana sebelum akhir tahun ini," katanya pada majlis perasmian seminar Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM) 2010 di sini, semalam.

Beliau berkata, sektor swasta tidak lagi dilihat sebagai pesaing, sebaliknya ia menjadi pelengkap mengharmoni industri, tidak hanya terhad dalam memperluas rangkaian dan meningkat ekuiti pengajian tinggi negara malah berperanan secara khusus membantu meningkat pendemokrasian pengajian tinggi tempatan.

"Sektor swasta sama-sama berperanan menawarkan kursus yang dikehendaki oleh keperluan industri negara. Perkembangan dan kejayaannya boleh dilihat dengan kewujudan 515 IPTS di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 20 IPTS berstatus universiti, 20 IPTS lagi berstatus kolej universiti manakala lima IPTS berstatus kampus cawangan luar negara dan 470 IPTS berstatus kolej," katanya.