26 January 2010

PEMBANGUNAN KAREKTOR PELAJAR

Fokus pembangunan karektor pelajar: Dr M (Berita Harian 26/1/10)

SINTOK: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mencadangkan pendidikan berteraskan pembangunan karektor pelajar dilaksanakan secara formal di sekolah untuk melahirkan generasi yang berilmu dan berakhlak di negara ini pada masa depan.

Beliau berkata, penekanan terhadap pembentukan karektor perlu kerana negara memerlukan pelapis yang mempunyai ilmu serta kemahiran tinggi namun seiring dengan pembangunan karektor sejak di bangku sekolah.

Katanya, ia perlu diterapkan di sekolah secara formal dan tanggungjawab ini boleh dipikul guru agama dengan memberi penekanan terhadap pembangunan karektor tanpa dicampur aduk dengan hal lain terutama politik.

"Kini pembangunan karektor tidak berlaku secara serius bahkan dalam pendidikan agama juga tidak berlaku secara terperinci bagi membentuk karektor supaya menjadi generasi seimbang dari segi pendidikan dan nilai diri.

"Mereka perlu ditekankan apa yang baik dan buruk untuk negara supaya jika menjadi bijak pandai ia akan menjadi insan berguna. Kalau setakat bijak tetapi tidak berakhlak ia tidak berguna bahkan satu kerugian kepada negara.

"Pembangunan pendidikan di negara ini pada saya amat pesat sehingga mendapat perhatian pelajar luar yang yakin dengan tahap pendidikan di sini.

"Bagi saya perlu pelaksanaan membangunkan karektor pelajar dimulakan dari peringkat paling bawah," katanya selepas menyampaikan ucaptama Kolokium Pendidikan Negeri Kedah anjuran Persatuan Kecemerlangan Pendidikan Negeri Kedah di Dewan Mu'adzam Shah, Universiti Utara Malaysia, semalam. Beliau diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali.